Kemenangan besar Barrack Obama sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-44 sudah dijangkakan. Kejayaannya diraikan di seluruh dunia. Berucap di hadapan lebih 200,000 penyokong di Chicago, Obama berkata, “Perubahan sudah tiba di Amerika.”
Pelik, kerana Amerika Syarikat yang terlalu jauh ke hadapan dalam pengamalan demokrasi, masih bercakap mengenai ‘perubahan’.
Di Amerika, tiada parti yang berakar umbi mencengkam kerajaan. Pertukaran presiden daripada parti yang berbeza adalah lumrah. Kehakiman, media, dan polis adalah bebas. Obama dan John McCain punyai hak yang sama untuk bercakap di hadapan rakyat jelata. Tiada halangan dan tiada gas pemedih mata. Media mereka tidak berat sebelah. Pemimpin politik Amerika bebas bercakap tanpa ancaman Akta Hasutan atau ISA.
Jika perbezaan amalan demokrasi antara Malaysia dan Amerika Syarikat ibarat bumi dan langit ketujuh, maka kita tertanya-tanya “perubahan” apa lagi yang diperlukan di sana.
Obama adalah keturunan kulit hitam, menang di negara yang majoriti penduduknya kulit putih. Rakyat Amerika mengundi berasaskan kelayakan, bukan asabiyah. Isu warna kulit sudah mereka tinggalkan sejak beberapa dekad. “One Nation” adalah slogan yang berdiri kukuh di belakang seluruh rakyat Amerika. Isu perkauman terhapus dengan sendirinya setelah mereka berjaya memajukan seluruh rakyat.
Model demokrasi (dalam negara) adalah yang terbaik di dunia. betul, Amerika bukan negara “Baldatun taibatun wa rabbun ghafur” (negara berkebajikan dan mendapat pengampunan Tuhan), tapi bagi BN, khususnya Umno yang siang malam mencanang isu pembangunan duniawi kepada rakyat harus melihat secara jujur beberapa aspek kehebatan Amerika.
Selepas 51 tahun merdeka, kita di negara kita masih belum habis bercakap isu bangsa secara sempit; isu bahasa, isu songkok, isu tulisan, isu kuota, isu babi, isu lantikan bukan Melayu, isu ekuiti, isu GLC, dan isu rizab Melayu. Orang Amerika akan gelak berguling-guling jika tahu isu seperti itu masih dimainkan di Malaysia.
Apabila bekas menteri, Dato’ Zaid Ibrahim menimbulkan soal kegagalan konsep ketuanan Melayu di negara ini, ramai pendukung asabiyah Melayu melenting. Emosional tak tentu fasal. Sedang yang sepatutnya mereka terima hakikat ialah Melayu/Islam telah gagal diperkasakan. Melayu menjadi bangsa yang ketinggalan di negara ini akibat dari pengkhianatan yang dilakukan oleh pemimpin melayu sendiri.
Separuh abad Umno diberi kuasa politik tetapi mereka gagal menunaikan amanah memajukan orang Melayu/Islam, sebaliknya rakus meragut kekayaan untuk diri sendiri serta kroni.
Antara kejayaan Umno adalah membela sekelompok elit Melayu yang bergantung hidup ( dengan mewah) dengan projek-projek kerajaan. Kekayaan negara hanya berkisar di tangan mereka. Dalam waktu yang sama, mereka juga adalah penguasa negara, hasil dari demokrasi pincang yang mereka manipulasikan. Mereka merantai demokrasi dan membelenggu semua institusi yang menjadi milik rakyat.
Apabila rakyat Amerika berbicara mengenai “perubahan”, mereka merujuk kepada pelan bertindak untuk manusia sejagat. Apabila rakyat kita mengungkap slogan “preubahan” ia cuma mukadimah untuk membetulkan demokrasi yang tempang dan kebebasan bersuara agar tidak digari ke lokap ISA.
Hakikatnya, kegagalan Melayu/Islam diperkasakan di negara ini adalah disebabkan oleh pihak lain yang lebih bertanggungjawab daripada Umno tidak mendapat peluang mengambil alih kuasa. Umno tidak mampu dan mereka menyekat pihak lain pula yang mampu dan lebih bertanggungjawab.
Di Kuala Kangsar, 2000 orang Melayu dilaporkan berhimpun membacakan ikrar taat setia dan menyerahkan memorandum kepada Tuanku Sultan Perak di Istana Iskandariah.
Perhimpunan seperti itu tidak perlu jika Melayu adalah bangsa yang kuat, maju dan menguasai ekonomi di negara ini. Pihak lain tidak hairan sepicing pun pada kelompok Melayu yang berslogan bagai gagak gempita, sekalipun sambil berpaut pada pagar istana, jika Melayu menjadi bangsa yang mundur di bumi sendiri.
Sebaliknya mereka akan dikagumi jika orang Melayu/Islam adalah penguasa ekonomi dan politik.
Macam mana Melayu nak maju selagi Umno berkuasa. Macam mana nak pastikan Umno tidak berkuasa, jika mereka guna kuasa untuk tempangkan demokrasi.
Oleh: Zulkifli Yahaya
(Seperti yang disiarkan di dalam Harakah keluaran 10-13 November 2008)
1 ulasan:
waaa.. pernah gi chicago.. ehehe
salam singgah dari ku.. ;p
Catat Ulasan